Oleh Hardi Effendi Yaacob

|
"I love you... marry me Anuar!" Demikian jeritan seorang peminat wanita yang menggamatkan suasana di Panggung Sari, Istana Budaya ketika berlangsungnya Konsert Lelaki Ini - Anuar Zain 2008 selama dua malam pada 1 dan 2 Julai lalu. Belum pernah suasana sebegitu berlaku di dewan berprestij itu meskipun sudah berlabuh beberapa persembahan, sekali gus membuktikan betapa hebatnya penangan aura jejaka idaman Malaya ini.
Bukan sekadar nyanyian, malah setiap perlakuannya di pentas, termasuk menanggalkan sut, membuka tali leher hinggalah mengelap peluh di muka, ia pasti disambut dengan jeritan peminat, satu suasana yang jarang dapat dilihat di Istana Budaya. |
Bagi Anuar, 39, tiada apa yang diperkatakannya melihat konsert solonya itu, yang pertama seumpamanya dianjurkan di tanah airnya sendiri menjadi kenyataan selepas beberapa kali bertandang ke negeri jiran, Singapura sebelum ini.
“Alhamdulillah. Tidak pernah terfikir pun saya mampu mengadakan konsert sebesar ini, apatah lagi di Istana Budaya sambil diiringi pemuzik orkestra yang begitu ramai. Bukannya tidak pernah beraksi di sini, tetapi kalau konsert solo, inilah yang pertama.
“Bukan senang mahu menjadikan impian ini satu kenyataan. Terlalu banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi. Saya cukup berbangga dengan pencapaian. Malah, saya cukup gembira dapat berkongsi kejayaan ini bersama rakan rapat dan peminat semua,” katanya kepada B*Pop.
Mengenali Anuar, terlalu banyak rintangan terpaksa dihadapinya, begitu juga tenaga kerja syarikat pengurusannya, Anuar Zain Network Sdn Bhd dalam menjadikan impiannya menganjurkan konsert solo di tanah air sendiri satu kenyataan, terutama dari segi penajaan.
Anak kelahiran Merlimau, Melaka ini juga pernah ditempelak pegawai tinggi sebuah syarikat telekomunikasi terkenal tempatan apabila menghantar kertas cadangan untuk mendapat penajaan bagi membiayai konsert solonya.
Namun, beliau tidak sedikit pun kesal dengan kejadian itu, malah menganggapnya peniup semangat hingga muncul dalam konsert solo pertama dalam karier nyanyiannya di Esplanade, Singapura tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan hingga membuka mata banyak pihak.
“Bila diimbas semula kejadian itu, memang rasa kecewa sangat sebab ada pihak tidak nampak bakat, kebolehan dan kesungguhan kita. Namun, saya tidak patah semangat, malah menyahutnya sebagai cabaran dan membuktikan kemampuan saya,” katanya.
Sepanjang Konsert Lelaki Ini - Anuar Zain 2009 berlangsung, Anuar menyanyikan 21 lagu termasuk Kain Pelikat dan Seruling Bambu, petikan dari album duetnya bersama Ellina Razak, Berdendang Bersama pada 1983, selain Kesan Kelukaan (Nyanyian Sepasang Hati - 1988).
Manakala, selebihnya dipetik dari tiga album solonya termasuk Bila Resah, Mungkin, Keabadian Cinta, Mungkin, Perpisahan, Kau Bunga Cintaku, Lelaki Ini, Ketulusan Hati dan Semua Untuk Mu yang ditujukan kepada beberapa teman rapatnya yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadapnya.
Di kesempatan itu, beliau turut menyanyikan semula empat lagu lama - Penantian, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Epilog Cinta Dari Bromley dan Berdirinya Seorang Perindu - dalam versinya yang tersendiri sebagai tribute kepada idolanya iaitu Harmoni, Flybaits, Sohaimi Mior Hassan serta Ibnor Riza.
Bagi jejaka yang cukup murah dengan senyuman ini, konsert itu sudah melengkapkan perjalanannya hampir 30 tahun di bidang seni, bermula seawal usianya 13 tahun.
Malah, tidak akan wujud perasaan kesal dalam dirinya jika ditakdirkan terpaksa meninggalkan pentas nyanyian suatu hari nanti.
|