 |
ZIANA ZAIN satu nama yang tidak pernah pudar di persada seni tanah air biarpun empat tahun menyepi tanpa album baru.
Hadir dengan pakej yang lengkap dengan gaya serta penampilan tersendiri, Ziana masih kekal jelita bak anak dara biarpun usianya bakal mencecah ke angka 40, 2 Mei ini.
Bagi pelakon dan penyanyi bersuara tinggi yang mula mencipta nama dengan lagu Madah Berhelah ini dia tetap optimis dengan perjalanan karier seninya selama ini.
Katanya dia gemar berfesyen namun biarlah ia bersesuaian dengan majlis yang dihadirinya.
"Saya pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa perlu bergaya seperti sekarang bila usia sudah masuk 40 tahun. |
"Bagi saya gaya itu penting namun ia perlu seiring antara penampilan dan usia kita" kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain.
Menurut anak jati kelahiran Merlimau, Melaka ini dalam tempoh tersebut aktiviti seninya tidak pernah surut kerana dia banyak mendapat undangan nyanyian di majlis makan malam dan masih membuat persembahan di majlis anugerah apabila diundang menyanyi.
Terkini jurucakap kepada produk kecantikan menguruskan badan, Slim World dan tilam Vono ini bakal membuat persembahan Minggu Setiausaha anjuran Rafflesia pada 16 April ini dari jam 11 hingga 3 petang di Hotel Istana.
Apa yang istimewanya, pada majlis tersebut peserta bakal dihiburkan dengan kehadiran lapan nama besar dalam industri hiburan tanah air seperti Nasha Aziz, Jac, Fauziah Latiff, Erra Fazira, Ning Baizura, Liza Hanim, Azharina, Norryn Aziz, Aleza Kassim,
Setiap celebriti yang hadir bakal memperagakan pakaian daripada 13 orang pereka fesyen muda baru hendak mencipta nama di arena fesyen Malaysia.
Pada majlis tersebut Ziana bakal tampil memperagakan pakaian rekaan pereka muda yang meningkat naik Rizman Ruzaini.
Bagi Ziana, dia tidak begitu memilih dalam memilih pakaian untuk diperagakan pada sesebuah majlis.
" As long as it's good and nice. I'll wear it ,” kata Ziana yang pernah membintangi filem Kabhi Kushi Kabhi Igam bergandingan bersama Erra Fazira, Hans Issac dan Rusdi Ramli.
Bagi Ziana, “Ini merupakan satu platform terbaik untuk memperkenalkan pereka-pereka fesyen muda di negara kita ke peringkat yang lebih tinggi," kata penyanyi yang mula mencipta nama dalam bidang lakonan menerusi filem Sembilu arahan Yusof Haslam pada tahun 1995 dahulu.
Menceritakan perkembangan terkininya ibu kepada dua cahaya mata, sedang sibuk menyiapkan album terbarunya.
Menurutnya, album tersebut sudah siap 60 peratus dan saya hanya menunggu empat buah lagu lagi untuk dirakamkan.
Dengan mengekalkan konsep pop untuk album terbarunya, kakak kepada penyanyi Anuar Zain ini turut menampilkan kelainan dalam album tersebut dengan menggabungkan lagu berirama rock dan perlahan dalam album tersebut.
Kata Ziana, hanya tinggal empat buah lagu lagi belum dirakamkan dan dia berharap dapat merakamkan empat buah lagu tersebut dalam bulan April ini.
“Empat buah lagu tersebut menampilkan kelainan dalam album terbarunya kerana ia merupakan lagu berunsur rock.
“Yang mana dua daripadanya merupakan sentuhan Julfekar dan dua lagi merupakan karya Greg Anderson,” kata isteri kepada Armin Zahrin ini.
Ketika ditanya tidakkah dia berminat untuk berlakon filem, Ziana yang pernah mencipta nama sebagai pelakon dalam filem pada tahun 1995 satu ketika dahulu, Ziana lantas menjawab:
“Bukan tidak berminat berlakon filem, tapi saya impikan watak yang mencabar yang sesuai dengan usia saya.
“Bukan memilih tetapi saya mahukan kelainan dalam lakonan yang mampu memberikan kepuasan kepada diri saya”, kata Ziana yang pernah memegang takhta Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular berita Harian pada tahun 1995.
Menceritakan mengenai kehidupan peribadinya penyanyi bersuara lantang ini sememangnya bahagia di samping suami tersayang, Armin Zaharin dan kedua-dua orang heronya Mohd Aiman 8, dan Mohd Ammar 5.
Biarpun suaminya itu sibuk dengan kerjaya sebagai ketua pramugara yang sering terbang ke awan biru, bagi Ziana mereka tetap mempunyai masa terluang bersama keluarga apabilan Armin tidak terbang ke luar negara.
Menceritakan gelagat dua heronya yang semakin membesar, Ziana berkata kadangkala dia tertawa melihat kerenah anak-anaknya mula keletah bertanya tentang pelbagai perkara.
“Aiman sudah faham tentang kerjaya mamanya sebagai penyanyi, kadang-kadang dia bertanya kepada saya. Hari ini mama tak menyanyi ke? ,” kata Ziana sambil tertawa mengingatkan keletah anaknya Aiman.
Katanya lagi, anak sulungnya Aiman sudah menunjukkan ciri-ciri mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.
“Dia suka menyanyi terutama ketika mandi di bilik air dan suka bermain gitar.
“Saya tidak menghalangnya tapi biarlah menjadi penyanyi yang berilmu yang punya asas dalam bidang muzik,” kata pelakon yang pernah membintangi drama 4 Diva sekampung yang ditayangkan pada hari raya aidilfitri tahun lalu.
Ketika diusik dengan pertanyaan mengenai adiknya Anuar Zain yang menimbulkan kontroversi mengenai isu dia rela dicium peminat.
Sebagai kakak, Ziana sememangnya dilihat cool memberikan komennya, katanya:
"Itulah satu masalah kita orang timur, persepsi kita selalu negatif dan cepat melatah dengan isu sebegitu.
"Bagi saya Anuar tidaklah merelakan dirinya dicium sampai ke tahap menjatuhkan maruah dia.
Katanya, Anuar berbuat demikian bukanlah kerana rela dicium sesuka hati tetapi hakikatnya setiap kali persembahannya dia akan dicium oleh peminat yang terdiri di kalangan makcik-makcik dan kakak-kakak.
"Kebiasaannya yang mencium dia semasa buat persembahan makcik-makcik. Sampai ada yang tanya dengan Anuar nak tak jadi menantu makcik tak?"
"Adakah itu yang dimaksudkan menjatuhkan maruah dia sebagai penyanyi? Kadangkala kita perlu lihat pada situasi dia berkata demikian dan jangan menghukumnya tanpa sebab.
"Bagi saya perkara itu hanya remeh-temeh yang hanya cuba menggangu kita untuk memberi persembahan terbaik kepada peminat," kata penyanyi yang pernah memenangi tempat pertama pada pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan pada 30 Julai 1995.
|