|
Oleh: Hanez Yussof Foto: Dannial Shah
Majlis Sidang Akhbar ' A Nite With Anuar Zain ' telah berlangsung di La Bodega, The Pavillion, Kuala Lumpur. Majlis makan malam tersebut (A Nite With Anuar Zain) akan berlangsung pada 2 Mei 2008, jam 8 malam, bertempat di Dewan Perdana Felda. Seiring dengan tema majlis 'Glamorous', majlis tersebut mengetengahkan konsep glamour untuk ditonjolkan oleh semua hadirin yang hadir. Dalam majlis tersebut Anuar Zain akan menyanyikan 17 buah lagu daripada tiga buah album terdahulu. Dua buah lagu dari penyanyi lain yang menjadi kegemaran Anuar Zain turut akan didendangkan.
Persembahan hebat Anuar Zain akan diiringi oleh pemuzik terkenal Mac Chew. Anuar yang terkenal menerusi lagu Lelaki Ini, Ketulusan Hati dan Keabadian Cinta ternyata terjua untuk menunggu detik 2 Mei. Bagi Anuar pada malam tersebut dia akan menghiburkan peminat 'all out', yang membeli tiket dengan harga serendah RM300 sehingga RM 650.
Menurut Pengarah Urusan Sutra D' Mega Event & Entertainment Sdn. Bhd, En Karl Asmawi, majlis yang bakal diadakan ini diharapkan dapat mencapai sasaran dan objektif penganjuran dan salah satu daripada obejektifnya adalah untuk mengeratkan silaturahim antara Anuar dan para peminatnya.
"Anuar Zain adalah satu nama besar dalam industri muzik tanah air. Kami memilih Anuar kerana dia bukan sahaja penyanyi tetapi penghibur yang disenangi ramai. Selain daripada itu projek ini bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada masyarakat khususnya peminat-peminat Anuar Zain untuk beramah mesra sambil berhibur dengan penyanyi kesayangan ramai itu.
Kenyataan Anuar pada sidang media tersebut bahawa dia akan memberi lebih ruang kepada para peminatnya untuk mendekatinya, mengundang gelak ketawa para wartawan yang hadir. Menggunakan istilah rela 'dicium' ternyata kata-kataya membuatkan semua yang berada di La Bodega, tersenyum simpul.
"Saya milik mereka pada malam itu. Terpulanglah mereka nak buat apa kepada saya. Cium pun tak apa. Tapi di pipi sahaja. Duduk atas pangku pun ok" akui Anuar.
Anuar Zain yang kelihatan semakin kurus menjelaskan penyepiannya selama ini kerana dia tidak ada cerita terbaru untuk dikongsi melainkan cerita albumnya yang kini telah terjual 25,000 dalam empat bulan.
"Album Lelaki Ini telah mencatat rekod kerana terjual 25,000 unit dalam masa empat bulan. Ianya satu perkembangan yang memberangsangkan. Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan berharap jumlah ini akan meningkat dari masa ke semasa" akui Anuar.
Telah memenangi banyak anugerah seperti Anugerah Artis Popular, Anugerah Vokal Terbaik dan Anugerah Penyanyi Baru Terbaik, Anuar akan mempersembahkan lagu Keabadian Cinta pada malam Anugerah Bintang Popular 30 Mac ini di Genting Arena All Stars.
|