 |
Selepas lebih dua bulan muncul dengan album terbaru yang mendapat sambutan hangat kini timbul pula isu baru tentang lagu popular Anuar Zain yang berjudul, ‘ Lelaki Ini ‘. Album yang penjualannya sudahpun mencecah 20 ribu unit dan telahpun menerima anugerah Platinum itu pada awal kemunculan turut mendapat perhatian ramai apabila timbulnya kontroversi tentang penggunaan khidmat komposer Indonesia dan juga lagu ‘Lelaki Ini ‘ yang dituduh ditujukan khas buat lelaki. Terbaru heboh pula tentang ‘Lelaki Ini ‘ yang sering menduduki carta teratas radio merupakan sebuah lagu ciplak. Kontroversi lagu ini terus diperkatakan dan khabarnya lagu tersebut diciplak dari lagu tema sebuah drama Filipina popular berjudul ‘ Walang Kapalit'. Walaupun dikatakan tidak secara menyeluruh namun ramai yang inginkan jawapan pasti disebalik apa yang digembar-gemburkan itu.
|
Sejauhmanakan kebenaran tentang khabar angin itu? Ikuti bicara MH bersama Anuar Zain.
MH: Apa Khabar?
Anuar Zain: sihat
MH : Heboh mengatakan lagu ‘Lelaki Ini ‘ merupakan lagu ciplak daripada sebuah lagu tema drama popular Filipina, apa komen Anuar?
Anuar Zain : Minta maaf saya tidak boleh jawab tentang isu ini. Pencipta lagu ini merupakan komposer dari Indonesia jadi saya rasa dia yang berhak menjawab persoalan ini.
MH : Anuar Sendiri tahu tentang ini ?
Anuar Zain : Saya memang tidak tahu tentang hal ini.
MH: Jika benar lagu ini diciplak, apa pendapat Anuar?
Anuar Zain: Saya tak boleh jawab sebab saya tak tahu apa-apa, saya Cuma menyampaikan apa yang diberi oleh komposer. Namun saya yakin komposer lagu ini tidak akan berbuat begitu.
MH: Tetapi mereka yang sudah mendengar lagu dari Filipina itu kebanyakannya mengakui lagu tersebut hampir serupa dengan lagu ‘ Lelaki Ini'?
Anuar Zain : Itu mungkin tanggapan orang. Seperti yang saya katakan tadi, saya yakin pencipta lagu ‘Lelaki Ini' tidak berbuat demikian. Lagipun sukar sekali drama dari luar negara ditayangkan di Indonesia. Saya sendiri tidak terfikir langsung lagu ini merupakan lagu ciplak.
Begitulah penjelasan tegas daripada Anuar Zain berhubung kontroversi lagu ‘ Lelaki Ini ‘ diciplak. Anuar yang masih sibuk mempromosikan albumnya pasrah dan tidak kisah dengan kata-kata orang tentang albumnya.Pada Anuar, kontroversi yang melanda merupakan asam garam kehidupan seorang artis.
Bagi dirinya segala karya yang dihasilkan bertujuan untuk menghiburkan para peminat.Asalkan peminat gembira dengan buah tangannya Anuar berasa cukup bersyukur.
Mahu Selesai Kes Saman Segera.
Kes saman antara Synchrosound Music dan Anuar Zain masih belum berakhir. Kes tersebut masih bersidang semula pada 26 November ini.
“ Kita desak supaya pihak Synchro menyelesaikan segera kes saman yang sudah tiga kali tertangguh. Pada 26 November ini kes tersebut akan bersidang. Semoga kes ini akan berakhir dengan kadar segera,” celah Pengurus Peribadi Anuar, Rohila.
|